Citibank sasar 10,000 pelanggan
Berita No Comments »CITIBANK Bhd mensasarkan lebih 10,000 akaun baru dalam tempoh dua tahun ini susulan pengenalan Citibank Guard Savings Account-i, akaun simpanan berasaskan prinsip Syariah menggunakan konsep Wakalah yang menggabungkan pulangan daripada simpanan serta perlindungan insurans takaful.
Ketua Pengurusan Produk Harta Citibank, Aisyah Lam, berkata akaun simpanan terbaru itu berbeza dengan akaun simpanan yang ada di pasaran kerana ia turut menawarkan perlindungan insurans untuk penyakit kritikal, hilang upaya penuh dan kematian.
Katanya, pelanggan hanya perlu menyimpan minimum RM2,000 dalam akaun simpanan terbabit dan pihak bank akan melaburkan wang berkenaan dalam aktiviti yang mematuhi kehendak Syariah.
Beliau berkata, bank kemudian akan memberikan pulangan minimum terhadap sebarang baki yang dikekalkan dalam akaun pelanggan.
“Pada masa sama hibah (hadiah) juga diberikan kepada pemegang akaun berasaskan kelayakan purata baki bulanan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran akaun simpanan Citibank Guard Savings Account-i di Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir, Pengurus Perniagaan Negara Citibank, Michellina Triwardhany dan Ketua Perbankan Islamnya, Rafe Haneef.
Aisyah berkata, sebelum pengenalan produk itu, Citibank menjalankan kaji selidik terhadap pelanggan yang mendapati mereka inginkan jaminan kewangan yang boleh menyara kehidupan selepas bersara.
Katanya, selepas menimbangkan maklum balas yang diberikan, akaun simpanan berasaskan Wakalah dipilih kerana ia mampu memberikan pulangan, di samping menambahkan manfaat premium kepada pelanggan, sekali gus menjadikan akaun itu bernilai dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata, Malaysia adalah negara pertama diperkenalkan produk itu dan ia menjadi perintis kepada produk akaun simpanan menggunakan kaedah Wakalah.
“Penerimaan positif pengguna di Malaysia membolehkan produk ini diperluaskan ke rangkaian Citibank di seluruh dunia. Malaysia sebagai hab kewangan Islam adalah tempat paling sesuai untuk melancarkan produk berkenaan,” katanya.








